April 28, 2012

kehilangan


Sudah genap seminggu. Tapi terlalu banyak benda dan perkara yang berubah. Perubahan yang kekal. Untuk selamanya.

Aku hilang seorang sahabat. Yang gila-gila. Yang sangat stylo. Yang amat menghormati orang lain. Yang punya cara tersendiri untuk mengingatkan orang lain tentang dosa dan pahala. Yang sangat sempurna bagi aku.

Aku sendiri bingung. Seminggu ini aku ambil masa untuk percaya apa yang sedang berlaku. Aku cuba. Kerana aku tak pernah lalui semua ini.
Kehilangan memang menyakitkan. Tambah pula ianya kehilangan yang kekal. Jujur, aku rindu dia. Sangat-sangat merindui telatah dan karenah dia.

Hari jumaat itu, kitorang ada ujian. Mekanik mesin dan elektrik elektronik. Aku saja kacau dia. Minta hint. Dia bagi. Aku janji nak bagi dia coklat. Dia bilang nanti dia tuntut.
Aku terus sediakan coklat untuk dia. Aku balut guna soletip. Dan diatas tercatit namanya. Aku letak atas meja baik-baik.

Petang itu, aku bergegas ke induk. Mungkin terlambat. Dan memang betul. Sampai di kelas ujian elektrik sudah mula. Aku rasa macam tertinggal sesuatu. Tapi aku abaikan.
Malamnya, ujian mekanik. Masuk je aku kat bilik kuliah, aku nampak dia. Memanggil-manggil aku dan kawan aku untuk duduk berhampiran dengannya. Aku sedikit pelik dengan perangai meriahnya malam itu. tapi aku buat tak tau saja. Pada aku, mungkin ini peluang aku.

Kemudian, dia pandang aku. Ah, aku lupa bawak coklat dia. Mukanya sedikit hampa. Aku pujuk dia. Aku kata hari isnin aku bawakkan untuk dia. Yang besar punya. Dia tersengih gembira.

Sepanjang ujian, dia tidur. Aku pelik. Dan aku perhatikan dia. Sepenuh perhatian. Cuma tidak ketara kerana bimbang dia terbangun, nanti aku yang malu sendiri.
Bila ujian hampir tamat, dia bangun. Dia mengeluh. Katanya tak dapat jawab sebab tak dapat coklat. Aku bilang, nanti matematik mesti dia boleh jawab sebab dia dapat coklat yang besar. Dia senyum saja.

Malamnya di rumah. Dia tegur aku di muka buku. Minta coklat. Dan aku hanya mampu bagi gambar coklat untuk dia. Dan dia bilang, tak apalah makan apa yang ada saja.

Besoknya, aku keluar. Berjalan menghilangkan serabut di kepala. Dan akhirnya, aku dapat berita. Terburu-buru aku pulang dengan satu benda bermain-main di kepala. Aku tak sempat bagi dia coklat. Berderai air mata aku.
Sampai di tempat kejadian, aku sempat lihat dia. Sedih yang amat. Terkilan, tersentap, rasa ralat, semua perasaan keluar masa itu.

Tak percaya dengan apa yang berlaku. Tapi aku terus yakinkan diri bahawa perancangan Allah itu sangatlah sempurna.
Cuma, aku perlukan masa untuk menelan segalanya. Lebih-lebih lagi bila aku terpandang coklat yang telah aku hias dan terletak elok di atas meja belajar aku.

Biarlah ianya disitu. Sampai bila-bila disitu. Kerana sampai bila-bila pun aku tak dapat lupakan dia

Alfatihah.