April 12, 2012

nyawanya

Malam kita seperti selalu. Asyik berbual, bermanja. Dan akhirnya, akan bercakaran dan bertelagah. Kita memang selalu begitu. Dan tak akan pernah jemu untuk sampai bila-bila begitu.

Tapi. Satu malam. Kau bilang.

"Jangan selalu sangat bergaduh. Nanti perasaan sayang akan bertukar cinta, bagaimana?"

Aku tersentap lima saat. Cukup untuk membuat sang dada berasa sesak sepanjang malam.

"Kenapa. Hina sungguhkah aku dan perasaan itu sampaikan diri kau sendiri kau mahu tipu?"

Mengalir. Terlepas tiga butir mutiara dari genggaman mata.
Kau kutip tiga butir yang mahal itu dan kau letakkan ia di atas kepala. Begitu tinggi sanjungan yang kau berikan.

"Sayang. Aku tak mahu cintakan kau. Kerana cinta perlukan pengorbanan dan ada pengakhirannya. Tapi aku mahu kau menjadi nyawaku. Kerana di situ aku sudah punya segalanya lebih daripada cinta."

Aku tersentap lagi. Lalu tersenyum. Ternyata malam-malam kita tiada pengakhirannya.

Ya.

Sangat manis bila berdua. Selamanya sampai bila-bila.