December 02, 2012

celaka rasanya


Ianya berbentuk kotak. Segi empat sama. Tertutup. Tiada ruang dan peluang untuk seekor tikus pun masuk kedalam. 
Cuma ada satu pintu di depannya dan satu tingkap di tepinya. 
Itupun hampir lunyai dimamah anai-anai, binatang perosak durjana. 

Didalamnya ada dua manusia. Satu terduduk satu berbaring-- mungkin melingkar kekenyangan. 
Mereka diperhatikan oleh kenangan dari satu sudut. 
Cukup tajam renungan yang diberikan oleh si jahat kenangan sehingga mereka terkedu terkejut lalu menggigil serta menangis ketakutan.

Satu situasi. Dua cerita yang berbeza. Satu rasa.
Bersatu semua menjadi rasa yang kurang enak untuk ditelan jika ditambah dalam tomyam ayam yang dimakan bersama nasi putih serta tembikai laici. 
Mungkin tomyam itu akan dibuang atau pekerja yang memasak akan dipecat kerana rasanya begitu celaka. 

Ya, celaka.

Celakalah rasa yang menyebabkan dua manusia ini melingkar dan termangu serta menangis kesepian.
Celakalah rasa yang telah menyebabkan kenangan keluar dan memerhati dengan tajam serta menakutkan.
Celakalah. 
Ah, celaka!

Pintu yang hampir lunyai dimamah anai-anai itu terkejut lalu melarikan diri sejauh seratus meter dan tingkap yang engselnya sudah berkeriuk-keriuk bunyinya itu pecah lalu bersembunyi di belakang dinding usang kotak segi empat sama. 
Semuanya kerana dua manusia tadi menjerit bagai halilintar membelah langit menyebabkan langit menangis dan mengundang rasa hiba seluruh semesta.

Ah, celakalah semua yang terjadi ini.