February 23, 2012

tabah ya sahabat


Meniarap. Menaip. Termenung sekejap. Berbaring pula. Merenung ke atas. Putihnya siling. Tiada segarit kotoran langsung. Ianya sama bagaikan si anak yang baru dilahirkan oleh ibunya.

Dan ibunya pula yang menentukan sama ada dia Yahudi, Majusi, Nasrani ataupun Islam.

Kemudian. Aku terfikir. Bagaimana mati aku. Islamkah waktu itu, atau sebaliknya. Nauzubillah. Jauhkan lah aku dari semua itu ya Allah.

21.02.2012.

Tarikh yang sangat cantik. Indah bagi sesiapa yang melaksanakan sunnah rasul Allah, iaitu membina masjid. Bahagia apabila ada yang menimang cahaya mata, lebih-lebih lagi anak sulung. Tapi.

Seksa. Derita. Sakit. Kejam. Dalam. Jauh ke dasar hati.

Apabila seseorang yang kita kasihi. Yang kita sayangi. Yang dia sentiasa belai kita dengan penuh kasih sayang. Tak pernah merungut walau kita sentiasa marahkan dia. Walau kita membentak apa yang dia cakap. Dia tetap berikan yang terbaik untuk kita. Sentiasa mengawasi pergerakan kita walau dari jauh.

Kini hanya tinggal satu kenangan.

Kenangan yang abadi yang tidak dapat dilihat semula melalui potret indah tetapi ianya tersemat dalam hati dan hanya boleh dilihat melalui refleksi minda yang tidak membenarkan untuk sesiapa pun melihatnya, kecuali mulut memainkan peranan untuk bercerita.

Payah. Aku belum pernah lalui semua itu. Dan aku juga tiada kuasa untuk menahan semua itu dari berlaku.

Kerana yang hidup pasti mati. Bagaimana? Bergantung kepada amalan kita. Wallahualam.

*Takziah kepada sahabat. Semoga arwah ayahnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-fatihah.