August 19, 2011

endless

Maaf kalau mulut aku ini terlalu celupar untuk mengungkapkan kata-kata yang tidak sepatutnya diungkapkan. Atau lebih sopan lagi, menyatakan sesuatu perkara yang boleh mengguris hati orang lain demi kepentingan diri sendiri.

Aku hanya manusia biasa. Ada lebih dan kurangnya.

Dua puluh empat jam yang lalu aku hilang arah dan pedoman hidup buat seketika hanya kerana aku tak jumpa kemanjaan yang kau selalu berikan ke aku macam masa dulu-dulu. Masa masih segar lagi. Salah aku dan kau berhak menghukum aku.

Tapi kau tak tahu. Aku hidup dalam gelita dilumuri air mutiara yang jatuh sepatutnya bersebab selama dua puluh empat jam itu. Aku lemas dalam kolam buatan sendiri.

Dan aku langsung tidak dibekalkan oleh pendayung mahupun perahu atau rakit.

Mahu aku kata apa lagi?

Kau hilang begitu saja tanpa tinggalkan kesan tapak kaki yang boleh aku jejaki hingga ke puncak Himalaya. Akhirnya aku sesat dan mampu sampai hanya di banjaran titiwangsa.

Aku tak mahu ikatan itu menjadi telur. Telur di hujung tanduk. Hanya kerana kau dan aku suka menanam tebu di tepi bibir.

Dan kalau kau mahu buang pokok itu, cabut hingga ke akarnya. Jangan cantas sekadar di batang. Kelak pokok itu beranak pinak, kau yang sakit untuk menabur bakti menyemai baja demi menatangnya bagai minyak yang penuh.

Fikir dengan sejujurnya, aku tak mahu ianya berakhir macam cerita norman dan abby.

Happy ending. Itu yang aku impikan.