February 11, 2011

pejam tak celik celik

Detik masa kian hangat berlari malah terus memecut menuju garisan penamat yang tidak bermata tanpa memikirkan hati perasaan insan yang bernama manusia.

Aku manusia itu.

Aku sungguh benci masa itu kerana dia begitu mencemburui aku. Namun, apalah dayaku untuk menghalang dari semua itu berlaku.

Bagai tidak bersedia dari segi fizikal mahupun mental, terpaksa aku gagahi diri ini dari terus lalai mengejar dunia tanpa mengecapi kejayaan terlebih dahulu.

Kisah sang kancil dan buaya, kujadikan sebagai panduan dan teladan hidup meniti hari hari yang mendatang ini. Sama ada aku sedar atau tidak, sekeliling aku bagai dipenuhi semak yang berduri yang harus aku tebas agar tidak dikuasai oleh binatang buas yang penuh dengan bisa.

Rasanya tidak aku rela jika aku dipintas oleh sang masa tanpa aku sempat berbuat sesuatu yang boleh meninggalkan kesan mendalam didalam hidupku mahupun orang lain.

Suatu kenangan yang tercipta dari hati yang luhur dan murni sehingga tidak sanggup menghadapi perpisahan biarpun maut.

Kehilangan sesuatu dalam hidup yang indah ini adalah suatu kenangan pahit yang boleh melukakan memori dan meninggalkan kudis buta dalam igauan mimpi.

Menerima kasih sayang dari seseorang yang dihargai dalam hidup adalah suatu kenangan manis yang tidak dapat diungkapkan dengan ayat mahupun tulisan dan akan menjadi nadi kepada kehidupan yang tidak kekal untuk selamanya.

Pergolakan atau konflik hidup mengajar manusia untuk berusaha menjadi lebih matang dari sebelumnya dan berusaha untuk mengubah apa yang kurang tanpa melanggar syariat hidup sebagai hamba-NYA.

Sukar mencari pendua untuk sesuatu yang kita terima dengan penuh penghayatan dalam hidup. Biar ada penduanya, ianya takkan sama dengan yang asli.

Tetap ada cacat celanya walau sebesar biji sawi.

Aku rela pergi dahulu dari kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup. Pergi sebagai seorang hamba yang kerdil dan hina menemui TUHAN yang telah menciptakannya dan memberinya beribu peluang dan kemanisan untuk dan dalam hidup.

Dan tidak akan pernah kembali untuk selamanya.